Friday, May 4, 2012

SAHABAT PASUM

Assalamualaikum wbt.
Apa khabar sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah? Semoga berada dalam kesejahteraan selalu.
Sudah lama saya  tidak berblogging di sini. Lantaran kesibukan yang memanjang tiada henti.
Lepas satu, satu komitmen lain pula yang mendatang.
Amanah yang ditugaskan wajib dituruti. Amanah Allah apatah lagi.

Sekian lama meninggalkan alam Pusat Asasi Sains Universiti Malaya(PASUM), terasa rindu di hati apabila mengenang sahabat-sahabat lama. Bersama-sama menempuh pelbagai halangan dan rintangan, makan setalam, minum secawan. Terutamanya sahabat saya yang bernama Hud Azzaki yang berada jauh di perantauan dan juga Riduan Hamid yang berbeza kampus. Apatah lagi Razul, terus hilang tanpa khabar berita. Semoga dia sihat dan selamat dalam kerahmatan Allah. Moga Allah kurniakan kelapangan masa untuk kami bersua lagi.

Jika dahulu saya merupakan Amir(Ketua) Sahabat PASUM, kini hanya mahasiswa yang biasa-biasa sahaja. Apabila dikenangkan balik ketika zaman saya mengetuai persatuan dakwah tersebut. Allah sahaja yang tahu betapa beratnya amanah itu. Namun sahabat-sahabat ada di sisi saya untuk membantu, bersama-sama menegakkan syiar Islam di bumi PASUM tersebut. Indah juga ukhuwah yang terbina ketika itu, sehingga kini masih mengganggu benak fikiran saya.

Sahabat PASUM punyai sebuah grup di Facebook dengan nama 'SAHABAT PASUM' sehingga kini hampir mencecah seribu orang yang menyertainya. Tujuannya mudah, untuk bersama-sama memikirkan tentang Islam tanpa mengira perbezaan jemaah mana yang mereka ikuti. Tabligh, ISMA, Ikram dan lain-lain duduk bersama-sama membincangkan mengenai gerakerja dakwah di PASUM.

Namun kini grup tersebut seperti hujan panas, kadang-kadang hangat perbincangannya, kadang-kadang sunyi sepi tanpa bicara. Perbincangan yang melibatkan politik dan juga isu munakahat benar-benar mendapat tempat di hati para peserta perbincangan di dalam grup tersebut. Bermusim jugalah perbincangannya.

Saya menyeru kepada sahabat-sahabat. Ayuh! kita hangatkan kembali perbincangan di grup tersebut. Sepertimana yang berlaku sebelum ini, pertembungan idea banyak berlaku, perbincangan ilmiah amat rancak sekali. Sekurang-kurangnya ada juga perkara-perkara baru yang kita ketahui. Moga-moga perbincangan yang rancak mampu menaut hati kita kembali. Meningkatkan lagi rasa ukhuwah fillah di antara kita.

Sekian, Assalamualaikum wbt~




Tuesday, January 24, 2012

Takwa - Takutkah aku kepada-Nya?

Assalamualaikum wbt.
Sahabatku yang dirahmati Allah swt. Saudaraku yang dimuliakan Rasulullah saw.
Semoga pintu hati ini terus diketuk oleh Allah swt agar sentiasa mengingati-Nya dalam keadaan senang mahupun susah.

Dalam kehidupan sehari-hari kita, janganlah kita pernah lupa akan tujuan utama kehidupan di dunia yang sementara dan singkat ini.
Kita diciptakan hanya untuk beribadah kepada Allah. (Az Zariyat -56)
Selain itu, kita ditugaskan untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah. (al-Baqarah : 30)
Kita juga berada di muka bumi Allah ini untuk menunaikan amanah Allah. (al-Ahzab : 72)



"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".
( Surah Al.Hujurat ; 13 )


Takwa
Takwa dari segi bahasa bermaksud takut atau memelihara.
Takwa dari segi istilah pula terdapat pelbagai takrifan yang diberikan daripada tokoh-tokoh Islam antaranya:

Sayidina Ali r.a berkata,
"Takwa adalah takut kepada Allah Rabbul Jalil, beramal dengan al-Quran yang diturunkan, reda dengan pemberian yang sedikit, bersedia untuk hari akhirat"


Ibn Abbas r.a berkata,
"Orang yang bertakwa ialah orang yang tidak berani meninggalkan petunjuk Allah kerana takut akan seksaan-NYa, dan mereka mengharapkan rahmat Allah dalam mengimani terhadap apa yang disyariatkan oleh Allah swt."

Hassan r.a berkata,
"Orang yang bertakwa ialah orang yang menjauhi perkara yang diharamkan oleh Allah dan melaksanakan apa-apa yang diwajibkan oleh Allah kepada mereka."

Thalq bin Habib berkata,
"Takwa ialah engkau menanti cahaya(petunjuk) daripada Allah, demi mengharapkan pahala Allah swt. Dan engkau menjauhi perbuatan maksiat kepada Allah atas cahaya(petunjuk) daripada Allah demi menghindari seksa-Nya"

Al-Tsauri berkata,
"Mereka dinamakan orang yang bertakwa kerana mereka takut (melakukan sesuatu) yang tidak perlu ditakuti (iaitu perkara yang halal, namun dapat menjerumuskan ke dalam perkara haram)"

Begitulah takrifan para ulama mengenai takwa.

Muhasabah diri
Saya tertarik dengan kata-kata Sayidina Ali r.a.
Jika dibandingkan dengan diri ini. Allah. .
Jauh sekali.

Cuba kita check balik diri kita. Ada tak ciri-ciri insan yang bertakwa seperti yang digariskan oleh Saidina Ali r.a.
Takut kepada Allah
Bagaimana caranya nak takut kepada Allah? Mengenali Allah amat jauh sekali.
Beramal dengan al-Quran
Bagaimana hendak beramal dengan al-Quran, sedangkan membacanya jarang sekali.
Reda dengan pemberian yang sedikit.
Nafas yang ku hela ini pun tidak mampu untuk aku lafazkan kesyukuran kepada-Nya. Kadang-kadang kita kecewa kerana kita tidak dapat apa yang kita inginkan. Kita tidak reda dengan diri sendiri.
Bersedia untuk hari akhirat.

Sibuknya kita pada dunia, sehingga terlupa kehidupan yang kekal abadi.

Insaflah wahai diri. .

Berdoalah kepada Allah

Saya mengajak teman-teman dan juga diri saya sendiri khususnya. Marilah kita kembali kepada Allah. Bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Lakukan hijrah terhadap diri masing-masing. Tingkatkan kecintaan kita kepada Allah.

Ayuh menginsafi diri
.
Antara lirik lagu merupakan doa seorang hamba kepada Allah.
Tuhan layarkanku ke arah cintaMu
Tuntuniku menggapai redhaMu
Rimbunan kasihMu ku berteduh
KepadaMu ya Tuhan
Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan


Link lirik lagu : lagu yang perlu dihayati.

Saturday, January 14, 2012

Meraih Cinta Ilahi - Bagaimana?

Assalamualaikum wbt
Sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah.

Ramai yang berkata, "Cintailah Allah kerana cinta itu cinta yang hakiki".
Persoalannya, bagaimana?
Adakah dengan solat atau berzikir kepada Allah sepanjang masa?
Adakah perasaan mencintai Allah itu sama seperti perasaan cinta kepada makhluk?

Kita pulang kepada persoalan yang asas, apakah itu cinta?

Cinta
Cinta itu adalah rasa kasih sayang yang mendalam terhadap sesuatu. Apabila dilamun perasaan cinta, seseorang itu tidak akan berhenti mengingati orang yang dicintainya. Setiap masa dan waktu ketika pasti sahaja ingatannya itu menuju ke arah seseorang yang dicintainya.

Seperti perumpamaan, "mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang," amat sesuai untuk menggambarkan keadaan seseorang itu apabila dia berada dalam fasa dilamun perasaan cinta.

Cinta Hakiki
Cinta hakiki adalah cinta yang sebenar. Cinta yang berada  di atas cinta-cinta yang lain. Hakikat kecintaan adalah kecintaan kepada Allah. Dia yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Tempat diletakkan segala pengharapan, tempat pengaduan sang hamba yang sedang sedih, tempat perkongsian sang hamba yang sedang gembira. Kesedihan dan kegembiraan itu juga datang daripada-Nya.

Cara Cinta
Bagaimana mungkin Allah bisa membiarkan hambanya hidup tanpa panduan dan bimbingan.
Sudah tentu Allah swt mengajar kita cara untuk mencintainya.
Bagaimana?

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(ali-Imran, ayat 3)

Allah mengajar manusia untuk mencintainya melalui seorang lelaki yang bernama Muhammad saw. Dialah manusia yang dipilih Allah untuk menyampaikan risalah suci-Nya.

Jika benar kita mencintai Allah, maka ikutilah Rasulullah s.a.w. Kehidupan Rasulullah s.a.w itu sendiri melambangkan kecintaan seorang hamba kepada Khaliq.

Daripada bangun tidur sehingga tidur semula, Rasulullah s.a.w tidak pernah alpa daripada mengingati Allah.

Apabila ingin makan,
"Ya Allah, berkatilah rezeki yang kau berikan kepadaku, dan jauhilah aku dari azab api neraka"
Apabila hendak tidur,
"Dengan nama Allah aku hidup dan aku mati"
Apabila bangun tidur,
"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku selepas mematikanku, dan kepadaMu aku kembali"

Tidak akan pernah melupakan Allah. Sanggup berjaga malam untuk menyatakan kecintaanya. Bengkak kakinya kerana terlalu banyak melakukan solat kepada kekasihnya. Setiap waktu baginda manifestasikan kecintaanya kepada Allah.
Kita?

Muhasabah
Segala nikmat yang diberikan oleh Allah merupakan tanda kasih sayangNya kepada kita. Sejauh mana kita membalas kecintaan tersebut?
Bibir amat berat untuk mengungkap cinta, perbuatan amat malas untuk menzahirkan cinta, hati kita entah ke mana - kecintaan makhkluk didahulukan.
Kita sebagai manusia tidak pernah lekang daripada melakukan dosa.
Maka, pulanglah kepada Allah. Ikutilah Rasulullah s.a.w, dengan mengikuti Rasulullah kita dapat menyatakan kecintaan kita kepada Allah.
Pesanan buat diri ini yang sering saja alpa daripada mencintai Khaliqnya.