Saturday, January 14, 2012

Meraih Cinta Ilahi - Bagaimana?

Assalamualaikum wbt
Sahabat-sahabatku yang dirahmati Allah.

Ramai yang berkata, "Cintailah Allah kerana cinta itu cinta yang hakiki".
Persoalannya, bagaimana?
Adakah dengan solat atau berzikir kepada Allah sepanjang masa?
Adakah perasaan mencintai Allah itu sama seperti perasaan cinta kepada makhluk?

Kita pulang kepada persoalan yang asas, apakah itu cinta?

Cinta
Cinta itu adalah rasa kasih sayang yang mendalam terhadap sesuatu. Apabila dilamun perasaan cinta, seseorang itu tidak akan berhenti mengingati orang yang dicintainya. Setiap masa dan waktu ketika pasti sahaja ingatannya itu menuju ke arah seseorang yang dicintainya.

Seperti perumpamaan, "mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang," amat sesuai untuk menggambarkan keadaan seseorang itu apabila dia berada dalam fasa dilamun perasaan cinta.

Cinta Hakiki
Cinta hakiki adalah cinta yang sebenar. Cinta yang berada  di atas cinta-cinta yang lain. Hakikat kecintaan adalah kecintaan kepada Allah. Dia yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Tempat diletakkan segala pengharapan, tempat pengaduan sang hamba yang sedang sedih, tempat perkongsian sang hamba yang sedang gembira. Kesedihan dan kegembiraan itu juga datang daripada-Nya.

Cara Cinta
Bagaimana mungkin Allah bisa membiarkan hambanya hidup tanpa panduan dan bimbingan.
Sudah tentu Allah swt mengajar kita cara untuk mencintainya.
Bagaimana?

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.(ali-Imran, ayat 3)

Allah mengajar manusia untuk mencintainya melalui seorang lelaki yang bernama Muhammad saw. Dialah manusia yang dipilih Allah untuk menyampaikan risalah suci-Nya.

Jika benar kita mencintai Allah, maka ikutilah Rasulullah s.a.w. Kehidupan Rasulullah s.a.w itu sendiri melambangkan kecintaan seorang hamba kepada Khaliq.

Daripada bangun tidur sehingga tidur semula, Rasulullah s.a.w tidak pernah alpa daripada mengingati Allah.

Apabila ingin makan,
"Ya Allah, berkatilah rezeki yang kau berikan kepadaku, dan jauhilah aku dari azab api neraka"
Apabila hendak tidur,
"Dengan nama Allah aku hidup dan aku mati"
Apabila bangun tidur,
"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkanku selepas mematikanku, dan kepadaMu aku kembali"

Tidak akan pernah melupakan Allah. Sanggup berjaga malam untuk menyatakan kecintaanya. Bengkak kakinya kerana terlalu banyak melakukan solat kepada kekasihnya. Setiap waktu baginda manifestasikan kecintaanya kepada Allah.
Kita?

Muhasabah
Segala nikmat yang diberikan oleh Allah merupakan tanda kasih sayangNya kepada kita. Sejauh mana kita membalas kecintaan tersebut?
Bibir amat berat untuk mengungkap cinta, perbuatan amat malas untuk menzahirkan cinta, hati kita entah ke mana - kecintaan makhkluk didahulukan.
Kita sebagai manusia tidak pernah lekang daripada melakukan dosa.
Maka, pulanglah kepada Allah. Ikutilah Rasulullah s.a.w, dengan mengikuti Rasulullah kita dapat menyatakan kecintaan kita kepada Allah.
Pesanan buat diri ini yang sering saja alpa daripada mencintai Khaliqnya.

No comments:

Post a Comment