Monday, February 25, 2013

Sirah(1) - Kelahiran Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w telah dilahirkan di Mekah pada pagi hari Isnin 12 Rabiul Awal dipermulaan Tahun Gajah, dan merupakan tahun ke-40 dalam pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan. Mengikut perkiraan Ulama Agong Muhammad Sulaiman al-Mansurpuri dan pentahkik falak Mahmud Basya, tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w jatuh pada 20 atau 22 April tahun 571 Masihi.

Beberapa petanda-petanda kebangkitan seorang rasul telah berlaku sebelum kelahiran Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah runtuhan 14 anjung dewan Kisra Parsi, terpadamnya api yang disembah penganut agama Majusi, robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawah yang mana sebelum itu penuh sesak dengan pengunjung, ianya diriwayatkan oleh al-Baihaqi namun tidak disepakati oleh Muhammad al-Ghazali.

Sebaik sahaja Baginda Rasulullah s.a.w dilahirkan, ibunya Aminah segera memberitahu kepada datuk baginda Abdul Mutalib mengenai khabar gembira tersebut. Datuknya terus mengambil dan membawa Baginda ke dalam Kaabah untuk berdoa dan bersyukur kepada Allah. Beliau memilih nama "Muhammad" s.a.w sebagai nama kepada cucunya, nama itu belum pernah digunakan oleh sesiapapun di kalangan bangsa Arab sebelum itu. Pada hari yang ke-7 kelahiran baginda, baginda telah dikhatankan oleh datuknya mengikut kebiasaan orang Arab.

Penyusuan yang pertama selepas ibunya ialah daripada Thuwaibah hamba kepada Abu Lahab. Baginda menjadi saudara sepenyusuan bersama Masruh melalui ibu susuan baginda. Thuwaibah juga menyusukan Hamzah bin Abdul Mutalib dan selepasnya Abu Salamah bin Abdul al-Asad al-Makhzumi.


Bersambung, Dipersada Bani Sa'd.

No comments:

Post a Comment