Friday, May 10, 2013

Sirah (2) - Dipersada Bani Sa'ad

Sambungan daripada Kelahiran Rasulullah s.a.w

Mengikut kebiasaan bangsa Arab Hadhari (bandar), usaha mencari ibu susuan untuk anak-anak mereka dari pedalaman merupakan usaha untuk mencegah anak mereka dari terkena penyakit-penyakit yang terdapat di bandar. Selain itu, ia juga membantu untuk menguatkan fizikal, mengemaskan otot malahan juga sebagai cara yang terbaik untuk membantu lisan bahasa Arab dengan bahasa yang baik sejak dalam buaian lagi.

Datuk Rasulullah s.a.w, Abdul Mutallib menyerahkan baginda kepada Bani Sa'd bin Bakr, iaitu Halimah binti Abi Zuaib dan suaminya pula dikenali sebagai al-Harith bin Abd al-Qira atau digelar sebagai Abu Kabsyah dari kabilah yang sama. Hamzah bin Abdul Mutallib iaitu bapa saudara Rasulullah s.a.w juga merupakan saudara susuan baginda melalui ibu susuannya Halimah al-Sa'diah dan Thuwaibah.

Banyak keberkatan Rasulullah s.a.w semasa Halimatul Sa'diah bersama dengan baginda. Ibnu Ishaq telah menceritakan, Halimah telah berkata yang ianya telah keluar dari kampung bersama suaminya dan disertai oleh anak kecil yang masih menyusu. Beliau keluar bersama-sama wanita-wanita Bani Sa'd untuk mencari anak susuan.

Kata Halimah: Ini berlaku pada tahun kedua di mana mereka tidak mempunyai apa-apa pun. Aku telah keluar dengan menunggangi keldai betina yang dipanggil 'Qamra'. Bersama-sama kami unta-unta yang mana demi Allah unta-unta ini tidak mengeluarkan susu setitik pun. Pada waktu itu kami tidak dapat tidur kerana anak-anak kecil menangis kerana dadaku tidak dapat mengenyangkan mereka, unta kami tidak dapat memberi makanan, namun demikian kami masih mengharapkan hujan. Aku keluar bersama keldai betinaku itu sehingga pecah-pecah dan berdarah kaki kerana muatan yang berat. Seluruh ahli yang bermusafir itu terasa berat, lemah dan kekurusan, akhirnya sampai juga kami ke Kota Mekah untuk mencari anak susuan.

Masing-masing dari kami diajukan baginda Rasulullah s.a.w untuk penyusuannya, namun setiap orang menolak apabila diceritakan keyatiman baginda s.a.w kerana setiap dari kami mengharapkan budi baik dari si bapa, setiap kami menyebut-nyebut yatim!! Apa yang boleh dilakukan oleh ibu dan datuk baginda kerana setiap dari kami membencinya kerana keyatimannya.

Setiap yang datang bersama denganku telah membawa pulang bayi susuan masing-masing kecuali aku seorang sahaja. Bila kami sedang bersiap untuk pulang aku pun berkata kepada suamiku: Demi Allah aku tidak mahu pulang bersama teman-temanku tanpa membawa seorang bayi susuan pun, demi Allah aku mesti mengambil si yatim tadi. Jawab suamiku: Tidak mengapalah sekiranya kau mahu melakukan sedemikian, semoga Allah jua yang memberi keberkatan kerananya. Lalu aku mengambil bayi tersebut, kerana tiada bayi lain yang ada untukku ambil.

Setelah aku meletak bayi itu di ribaku, terasa dadaku dipenuhi susu, maka si yatim tadi menyusu dengan puas, saudara susuannya juga menyusu dengan puas sehingga tertidur. Sebelum ini kami tidak pernah tidur bersama-samanya. Kemudian suamiku pergi ke unta kami, didapati uncang susu unta kami dipenuhi dengan susu. Beliau memerahnya dan meminumnya dan diberikan kepada orang lain sehingga puas dan kenyang. Malam itu kami dapat tidur dengan nyenyak. Halimah berkata: Suamiku telah berkata bila kami bangun di pagi hari: Demi Allah, tahu tak Halimah, sebenarnya tiupan bayu keberkatan mula menghembus nafasnya. Kata Halimah: Demi Allah, sesungguhnya aku mengharapkan sedemikian.

Setelah itu kami pun bergerak keluar dari daerah Makkah,  aku menunggangi kaldai betina ku itu, di  atasnya  juga  ku  membawa  Rasulullah,  demi  Allah  binatang  tungganganku  merentasi perjalanan kiranya tidak dapat disaingi oleh kaldai-kaldai mereka yang  lain, hinggakan teman- teman  ku  yang   lain,  tertanya-tanya  dan   berkata:  Wahai  puteri  Abu  Zuaib  apa   kamu   ini? perlahanlah  sedikit,  tidakkah  tunggangan kamu  itu  yang  naik  ke  sini  dulu,  jawabku  kepada mereka: Bahkan demi Allah yang  itu itulah: jawab mereka: Demi Allah, ianya ada  keistimewaan, kata Halimah:

Setelah  itu  kami  semua pun  sampailah  ke  kampung kami  iaitu  persada Bani  Sa'd, ku  tidak pernah melihat  sebuah bumi  yang  paling  kontang dari  bumi  Bani  Sa'd, namun setelah  kami pulang dari mengambil bayi susuan kami itu nampaknya kambing-kambing kami sarat perut kekenyangan,  uncang-susu  dipenuh  susu,  kami  memerahnya  dan   meminumnya,  sedang ternakan  orang   lain  tetap   tidak  menghasilkan  setitik  susu  pun,   uncang susu  kekeringan, menyebabkan penduduk-penduduk yang  lain menyuruh penternak-penternak  mereka dengan berkata: Binasa kamu,  cubalah bawa  ternakan-ternakan ke tempat yang  selalu puteri Abu Zuaib berternak itu,  namun kambing-kambing  mereka tetap  kelaparan  tidak  mengeluar  walau  setitik susu pun,  sedangkan  ternakan kami kekenyangan uncangnya sarat dengan susu.

Beginilah seterusnya kami terus menerima limpahan kurnia dari Allah hingga berlalu dua  tahun   umur Baginda di mana Baginda pun tinggal susu, Baginda membesar tidak seperti kanak-kanak lain, sebelum sampai  usia  dua  tahun   Baginda  telah  menjadi  besar segar, kata  Halimah:  Setelah beberapa masa kami bawa  Baginda pulang kepangkuan ibunya, walau macam mana pun kami tetap  prihatin agar  Baginda terus tinggal bersama kami, kerana kami dapat menikmati keberkatannya, untuk  itu kami pun  mengemukakan harapan ini kepada ibunya, dan  ku berkata kepadanya: Kalaulah  puan   benarkan  anakku ini  terus tinggal  bersamaku hingga  meningkat tampan, pun ada  baiknya, kerana ku takut wabak-wabak di Makkah  akan  menyeranginya nanti, katanya  lagi.  Masih  lagi  kami  merayu-rayu  hingga  ibunya  pun   membenarkannya  pulang bersama kami.

Demikianlah halnya Rasulullah kembali tinggal kepangkuan Bani Sa'ad, hinggalah apabila Baginda meningkat empat atau  lima tahun, di mana berlakunya peristiwa pembedahan dada Baginda,  Imam  Muslim  telah  meriwayatkan  sebuah hadith  dari  Anas (r.a)  bahawa Rasulullah telah didatangi Jibril (a.s), di ketika Baginda sedang bermain-main dengan anak-anak lain, Jibril memegang Baginda  dan  merebahkannya  lalu  dibelah  dadanya dan  dibawa  keluar  hati  dan dikeluarkan segumpal darah dari dalamnya, dengan berkata: Inilah bahagian tempat syaitan bersarang, setelah itu dicucikan hati Baginda di dalam sebuah talam emas dengan air Zamzam setelah itu disembuhkan semula badannya dan  dibawa semula Rasulullah ke tempat anak-anak tadi, manakala anak-anak lain berlarian pergi menemui ibunya Halimah menceritakan, dengan kata   mereka,  "Muhammad   telah   dibunuh".   Apabila   mereka  menemuinya   semula   didapati
Baginda kepucatan.

Bersambung, Ke Pangkuan Keluarga yang Penyayang