Wednesday, August 21, 2013

Sirah (3) - Ke Pangkuan Keluarga yang Penyayang

Sambungan daripada Dipersada Bani Sa'ad


Ke Pangkuan Ibunya yang Penyayang


Halimah  al-Sa'diah  terasa takut  dengan peristiwa  tersebut, dengan itu  beliau  memulangkan Rasulullah kepangkuan ibunya, Baginda tinggal bersama ibunya hingga meningkat usia enam tahun. Aminah teringat untuk  ke Yathrib menziarahi kubur  suaminya, sebagai mengenang dan mengingati kematian itu. Untuk  itu beliau keluar dari Makkah,  merentas lima ratus kilometer menuju ke  destinasi bersama-sama anak   lelakinya yang  keyatiman itu, di iringi khadamnya Ummu Aiman dan  ayah  mertuanya Abdul Mutalib, di sana beliau tinggal untuk selama sebulan, setelah  itu  beliau  berpatah  balik,  semasa  perjalanannya  dari sana,  beliau  telah  diserang penyakit  dan  semakin  berat,  sejak  di  awal  perjalanan  lagi,  berakhir dengan hembusan nafas terakhir di tempat bernama "al-Abwa' " yang terletak di antara Makkah dan Madinah.


Ke Pangkuan Datuk Pembelas Kasihan

Abdul Mutalib membawa Baginda pulang ke Makkah,  dengan perasaan kasih sayang menepu didadanya terhadap cucundanya  yang   kini  yatim  piatu,  duka   lamanya  kembali  menusuk perasaan, membawa beliau mengasihani cucunya melebihi kasih sayangnya ke atas anak-anak cucunya yang  lain. Beliau tidak pernah tinggalkan Baginda keseorangan, meskipun yang  dalam keadaan terpaksa, sebaliknya  beliau sentiasa mendampinginya  dan  mengutamakan Baginda lebih  dari  cucunya  yang   lain.

Ibnu  Hashim  menceritakan: Biasanya  dihampar  di  lindungan Kaabah sebidang tikar khusus untuk  Abdul Mutalib, anak-anak dan  cucunya akan  bersila di sekeliling tikar itu, tak seorang pun  akan  duduk  di atas tikar itu hanya Abdul Mutalib seorang, kerana menghormati  beliau,  namun bila  Rasulullah  datang ketika itu Baginda  masih  kanak- kanak,   Baginda akan  duduk  di atas hamparan itu, di masa itu bapa-bapa saudaranya akan menarik Rasulullah ke  tepi untuk  memberi tempat kepada Abdul Mutalib, bila beliau melihat Rasulullah di situ Abdul Mutalib pun  menyeru: Biarkan anakku itu demi Allah dia mempunyai kedudukannya, kemudian beliau duduk  disampingnya di atas hamparan itu, dengan menyapu- nyapu  di belakang Baginda dan beliau sentiasa senang dengan segala peri laku Baginda.

Pada usia lapan tahun  dua  bulan sepuluh hari Datuknya Abdul Mutalib pun meninggal dunia di Makkah, walau bagaimanapun sebelum wafat, beliau telah sempat berwasiat dan  menyerah pemeliharaan Rasulullah kepada bapa saudaranya Abu Talib saudara kandung ayahnya.


Ke Pangkuan Bapa  Saudara Yang Mengasihani

Abu  Talib  selaku  bapa saudara, telah  memikul  tanggungjawab  menjaga  anak   saudaranya dengan sebaik-baiknya,  beliau  meletakkan  Baginda  bersama-sama  dengan  anak-anaknya malah memberi keutamaan ke  atas anak-anaknya dengan keistimewaan, penghormatan dan sanjungan, dalam tempoh empat puluh tahun  beliau menyokong Baginda, melindungi, membenarkan Baginda malah sanggup berkelahi untuk Baginda.

Bertemu Pendeta Buhaira

Setelah usia Rasulullah meningkat dua belas tahun, ada  yang mengatakan dua belas tahun  dua bulan sepuluh hari, Baginda keluar belayar bersama Abu Talib untuk  berniaga di negeri Syam, sehingga apabila sampai ke Basrah, yang  merupakan sebahagian dari Syam  di dalam daerah Hawran,  namun pada ketika itu Basrah adalah salah sebuah negeri, di daerah negeri Arab di bawah taklukan Rom,  di sana terdapat seorang paderi bernama Jarjis yang  dikenali sebagai Buhaira. Setibanya  rombongan  ke  sana,"Buhaira"  keluar  untuk menemui  mereka,  dan   memuliakan mereka sebagai  tetamu, tapi  ini  bukan   satu kebiasaannya,  kerana sebelum  ini  beliau  tidak pernah  keluar  untuk   menemui  sesiapa,  beliau  mengenali  Rasulullah  dengan segala  sifat- sifatnya.

Semasa beliau  memegang  tangan  Baginda,  terus  beliau  berkata:  Inilah  penghulu dunia sejagat, inilah orang  yang  diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Kata Abu Talib: Dari mana maklumat ini tuan  perolehi? Jawab beliau: Tahukah kamu,  bahawa semasa kamu  mendekati "al Aqabah" tidak ada   batu  dan  pokok-pokok  pun  yang  tidak tunduk  sujud kepadanya, sujud seperti ini hanya berlaku kepada seorang nabi sahaja, dan  aku  kenali pada Baginda "Khatam  al-Nubuwah" penutup kenabian, ianya terletak di belakang Baginda di bawah tulang dayung bentuknya seperti epal, semua sifat sifat Baginda tersebut di dalam kitab-kitab kami,  seterusnya beliau  meminta  supaya Abu Talib  membawa Muhammad (s.a.w) pulang  ke Makkah,  dan  jangan dibawanya ke negeri Syam  kerana ditakuti tindakan jahat Yahudi, oleh itu Abu  Talib   mengirim   Rasulullah   untuk   berpatah  balik   ke   Makkah   bersama-sama  dengan beberapa orang  suruhannya.

Bersambung..